Draf Persempadanan Semula: SPR Nafi Dakwaan PAS

Jumaat, 15 Januari 2010

NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf hari ini menafikan dakwaan PAS berhubung draf persempadanan semula bahagian pilihan raya yang dikemukakan melalui pejabat Perdana Menteri sebelum di bawa ke Parlimen.

"Dakwaan itu tidak berasas sama sekali," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, persempadanan semula bahagian pilihan raya akan hanya bermula pada Mei 2011.

"Persempadanan semula pilihan raya hanya boleh dilakukan lapan tahun sekali mengikut peruntukan Perlembagaan.

"Saya nak tahu juga mana mereka dapat maklumat ini? Kalau betul dakwaan itu, mereka boleh kemukakannya kepada kami," katanya. Kelmarin PAS mendesak SPR mengubah amalan mengemukakan laporan draf persempadanan semula bahagian pilihan raya melalui Pejabat Perdana Menteri sebelum dibawa ke Parlimen.

Dalam laman web parti itu, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata, walaupun amalan ini sudah menjadi satu kebiasaan sebelum ini, namun dari sudut integriti dan kebebasan SPR masih boleh dipersoalkan.

"Perdana Menteri merupakan seorang ahli parti politik yang berkepentingan dalam urusan pilihan raya dan turut menjadi calon setiap kali ada pilihan raya.

"Sebarang draf cadangan pindaan terhadap undang-undang serta peraturan SPR yang melalui pintu pejabat Perdana Menteri pastinya menimbulkan kesangsian kerana ia boleh dipinda sesuka hati oleh perdana menteri mengikut kepentingan partinya," kata beliau.

Oleh itu, Idris menambah kredibiliti SPR dan Perdana Menteri sebagai pegawai eksekutif dalam kerajaan boleh dipertikaikan kerana kepentingannya itu.

"SPR sewajarnya menjadi badan bebas yang tubuhkan melalui akta yang dibentangkan di Parlimen.

"SPR sepatutnya bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan setiap dokumen atau draf hanya perlu dilihat oleh ahli Parlimen termasuk Perdana Menteri ketika dibentangkan dalam Parlimen dan bukannya dibawa ke mesyuarat Kabinet terlebih dahulu untuk diedit," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, Abdul Aziz berkata keputusan berhubung persempadanan semula bahagian pilihan raya akan hanya diputuskan selepas ahli lembaga SPR mengadakan mesyuarat mengenainya.

"Isu persempadanan semula ini berkaitan dengan struktur pentadbiran dalaman kami, jadi kenapa perlu orang luar campur tangan.

"Kita di peringkat ahli lembaga pengarah pun belum mula bincang mengenai isu ini," ujarnya.

Menurutnya, persempadanan semula dilakukan mengikut prosedur dan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan SPR.

"Persempadanan semula perlu dikaji dengan teliti dan kita akan laksanakan ikut prosedur dan undang-undang kita.

"Jadi saya nak tahu juga daripada mana dia (PAS) dapat dakwaan seperti itu," tegasnya.

Mengenai dakwaan PAS yang mempertikaikan soal integriti SPR, Aziz berkata: "Kita sememangnya sebuah badan yang bebas, jadi kenapa kita perlu merujuk kepada mana-mana pihak untuk dapatkan kelulusan dalam apa-apa perkara yang kita laksanakan."

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan