Dr. Mahathir tidak kisah gelaran 'Tun' ditarik

Sabtu, 23 Januari 2010

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak kisah jika ada pihak yang mahu gelaran 'Tun' beliau ditarik balik ekoran pendedahannya mengenai 700 lori berisi pasir dijual ke Singapura setiap hari baru-baru ini.

Menurutnya, beliau membincangkan isu penjualan pasir ke negara republik itu dalam blognya baru-baru ini kerana tiada pihak lain yang berani mempersoalkan kegiatan tersebut.

''Menteri (Kerja Raya) kata 500 lori (pasir) ke Singapura setiap hari, ada yang kata 700 tetapi tiada siapa pun yang komen apa-apa, macam semua setuju sahaja.

''Jadi, kalau saya tidak tarik perhatian kepada perkara macam ini, tidak ada siapa yang akan tarik perhatian, takut tak dapat (gelaran) datuk," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan buku Civilizations, Nomadic Migrations, Empires and The Trail of Islam tulisan Datuk Syed Salem Albukhary di sini hari ini.

Dr. Mahathir diminta mengulas mengenai aktiviti penjualan pasir ke Singapura dari negara ini yang didakwa beliau sebanyak 700 lori setiap hari melalui blognya baru-baru ini berdasarkan maklumat seorang rakannya.

Jumlah kemasukan lori pasir ke Singapura dari Johor menjadi persoalan apabila Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor meletakkan angka 500 lori sehari sebagai menjawab angka 700 lori yang ditimbulkan Dr. Mahathir.

Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Johor, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, statistik Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri dari 1 Januari hingga Selasa lalu menunjukkan hanya 149 lori membawa pasir silika ke Singapura atau kurang daripada 20 lori setiap hari.

Dr. Mahathir bagaimanapun berpuas hati dengan tindakan pantas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan 38 tangkapan sejak beberapa hari lalu berhubung dakwaan melakukan penyeludupan pasir ke luar negara.

Dalam perkembangan lain, bekas Perdana Menteri itu menolak dakwaan bahawa pelaburan langsung asing (FDI) negara boleh berkurangan ekoran kritikannya terhadap perancangan Amerika Syarikat (AS) dalam insiden 11 September 2001 di New York.

''Sewaktu saya menjadi Perdana Menteri dulu, saya juga mengutuk AS, Yahudi dan saya juga dipanggil anti-Semantik tetapi FDI tetap masuk,'' tegasnya.

Rabu lalu, Dr. Mahathir dalam satu ucapan mendakwa terdapat bukti kukuh menunjukkan tragedi 11 September yang mengorbankan kira-kira 3,000 nyawa itu sebenarnya dirancang sebagai alasan menyerang dunia Islam.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan