Bersiap sedia bersama PR tentang BN

Jumaat, 22 Januari 2010

KUALA TERENGGANU – Pas Terengganu menafikan sama sekali desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli kuat parti itu bahawa Pas semakin ‘malap’ khusus di negeri ini.

:Ketua Penerangan Pas Terengganu, Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh sebaliknya menjelaskan Pas tetap berada pada kedudukan teguh biarpun pelbagai isu tercetus membabitkan parti itu ketika ini.

Malah, Pas juga sentiasa bersiap sedia dalam agenda parti untuk menghadapi sebarang kemungkinan dengan gerakan bersama-sama Pakatan Rakyat (PR) untuk menentang Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak mengiktiraf yang ini (Pas malap). Kita rasa ada orang yang tidak bertanggungjawab dan mungkin kata mereka orang kuat Pas. Kita tidak terima.

“Apa yang kita nampak keyakinan masyarakat umum pada Pas tidak berubah dan yang disebut-sebut itu mungkin kenyataan politik daripada golongan tertentu,” katanya kepada media ketika ditemui di Pejabat Perhubungan Pas Terengganu, Jalan Sultan Omar, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung rungutan dan desas-desus daripada individu tertentu yang mengakui ahli Pas bahawa Pas di negeri ini khususnya semakin malap dan menganggap pemimpin tidak membuat apa-apa untuk memperkukuh parti.

Dalam perkembangan terbaru, Nik Zawawi yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat berkata, pihaknya ketika ini sedang mengadakan perbincangan untuk mengorak langkah bagi Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurutnya, ia merupakan satu perbincangan serius untuk memastikan kemenangan Pas dan PR, sambil memberitahu yakin dengan gerakan yang akan dilakukan kelak mampu memberi hasil kepada pembangkang.

“Realiti kebangkitan ini wujud dan sebab itu kita nampak arus politik perdana dalam negara. Kalau di Perak, BN tidak mampu mengendali PR kerana gerun dengan kebangkitan Pas dan PR,” katanya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan