Bakar Gereja: Lebih Dua Suspek Terlibat

Sabtu, 9 Januari 2010

Suspek mesti disiasat dengan teliti pasal mana tahu UMNO dibelakangnya - Nabila

KUALA LUMPUR: Polis percaya lebih daripada dua orang suspek terlibat dalam kejadian kebakaran sebuah gereja di Desa Melawati, Wangsa Maju, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata, ini berdasarkan maklumat saksi yang ternampak dua buah motosikal diletakkan berhampiran gereja tersebut kira-kira jam 12 tengah malam.

"Saksi juga nampak kelibat satu lembaga melemparkan sesuatu ke arah gereja tersebut sebelum berlaku letupan yang memusnahkan hampir 80 peratus ruang tingkat bawah gereja tiga tingkat itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan suspek berdasarkan petunjuk yang diperoleh.

Katanya, setakat ini polis belum dapat mengenal pasti motif perbuatan khianat itu tetapi tidak menolak kemungkinan kejadian ada kaitan dengan isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penerbit majalah mingguan Katolik, Herald.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api atau benda letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun selain boleh dikenakan denda.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Muhammad Sabtu berkata, siasatan awal menunjukkan kesemua cermin tingkap di tingkat bawah gereja itu dipecahkan suspek sebelum mereka mencurahkan cecair dipercayai petrol ke dalam bangunan.

"Kita percaya tingkap itu dipecahkan menggunakan sepana berikutan polis menemui satu sepana dan bekas mengisi petrol di tempat kejadian dan juga terdapat dua topi keledar yang terbakar di hadapan gereja berkenaan," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat komen atau mengeluarkan sebarang reaksi yang mungkin akan mengeruhkan keadaan kerana ia melibatkan sensiviti kaum.

Gereja Katolik Metro Tabernacle sudah beroperasi sejak 12 tahun lepas dan mempunyai 1,500 jemaah.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengarahkan para pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) serta Rukun Tetangga supaya membantu polis mengekalkan keamanan.

"Kita semua kini perlu melakukan sekatan diri dan mengamalkan sifat saling menghormati dalam saatsaat yang mencabar ini.

"Serangan seperti ini sama sekali tidak dapat dipertahankan, tidak boleh diterima dan jelas bertentangan dengan semangat rakyat Malaysia secara keseluruhannya cintakan keamanan," kata Koh, yang memegang portfolio perpaduan negara, dalam satu kenyataan. - BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan