Ariffahmi diminta kekal jawatan

Ahad, 17 Januari 2010

KOTA BHARU 16 Jan. - Anak Menteri Besar Kelantan, Nik Abduh Nik Abdul Aziz meminta adik iparnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman tidak berundur daripada jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) walaupun berhadapan dengan pelbagai tuduhan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat berkata, ia sebagai menjaga maruah diri dan tidak tunduk dengan fitnah yang dilemparkan pihak tertentu.

''Saya yang minta Ariffahmi pertahan duduk situ sebagai tanda kita jaga maruah dan tidak tunduk kepada fitnah.

''Ariffahmi boleh pergi pada bila-bila masa tetapi ayah (Nik Aziz) yang minta dia meletak jawatan pada Mac ini sebab ada tugas yang belum selesai, tapi orang tidak faham sehingga ada orang kata dia tebus balik sesuatu.

''Ayah hendak tengok dia sempurnakan tugasnya dulu, kebetulan pula pada Mac ini ada program besar yang perlu diselesaikannya," katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas majlis pelancaran produk kesihatan keluaran Tok Guru Nutraceuticals Marketing oleh Nik Abdul Aziz di rumahnya di sini hari ini.

Menurut beliau, isu Ariffahmi sedikit sebanyak mempengaruhi beliau untuk melepaskan dua jawatannya dalam pentadbiran negeri yang dibuat secara lantikan politik.

Jelasnya, ia untuk menunjukkan rasa simpati terhadap adik iparnya yang menghadpi pelbagai tuduhan.

"Saya hendak berhenti dari tahun lepas lagi sebab saya nak sambung belajar dan kerap berulang alik ke Kuala Lumpur dan rekod kehadiran mesyuarat saya juga buruk, saya rasa bersalah.

"Isu Ariffahmi menambahkan lagi rasa untuk tunjuk simpati kepada beliau," katanya.

Bagaimanapun beliau menegaskan pengundurannya dari kedua-dua jawatan itu bukan untuk mengelakkan keluarganya dituduh 'kronisme'.

Sementara itu, beliau enggan mengulas mengenai tulisan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dilihat menyindir keluarganya.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan