Anggota CC Berhak Tentu Tarikh Letak Jawatan, Kata Dr Chua

Jumaat, 8 Januari 2010

Tak habis-habis masalah dalam MCA. - Nabila

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata ahli Jawatankuasa Pusat (CC) MCA berhak memilih tarikh untuk melepaskan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru parti diadakan.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam bahawa beliau enggan melepaskan jawatannya dalam jawatankuasa CC tersebut.

Dr Chua berkata saranan Liow itu bukan satu arahan yang perlu diikuti dan anggota CC berhak memilih tarikh untuk melepaskan jawatan

"Saya tidak bagi alasan apapun, tak bermakna apa yang Datuk Liow kata kena ikut, masing-masing ada hak nak buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat pertama Jawatakuasa Pengurusan Hal Ehwal Parti di Ibu Pejabat MCA di sini hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri oleh empat naib presiden iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha, Liow, Tan Kok Hong dan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Dua hari lepas, Dr Chua, yang pengerusi jawatankuasa khas bagi pemilihan baru parti itu, tidak menolak kemungkinan pemilihan berkenaan diadakan bulan depan atau Mac ini.

Beliau berkata mesyuarat hari ini membincangkan kerjasama MCA dengan Kementerian Pelajaran untuk memindahkan 13 sekolah dan menubuhkan tujuh sekolah rendah aliran Cina.

Sementara itu, Liow, yang mengadakan sidang akhbar di tempat sama, berkata tindakan lanjutan akan diambil bagi mendesak pemilihan baru tetapi enggan mendedahkan rancangan tersebut.

Katanya beliau kecewa dengan Dr Chua kerana tidak meletakan jawatan dalam CC seperti dijanjikan.

"Saya kecewa dengan Dr Chua dan situasi keseluruhan krisis MCA. Parti akan menderita jika kita masih diselubungi dengan situasi seperti ini," katanya.

Liow menegaskan pemilihan baru penting bagi menyelesaikan krisis dalaman parti itu dan pasukan petugas bagi memulihkan integriti parti yang dibentuk oleh penyokongnya akan mengambil tindakan lanjut.

Sebelum ini, Liow bersama 12 ahli CC telah mengemukakan surat peletakan jawatan tetapi usaha untuk mengadakan pemilihan gagal kerana kekurangan kuota lapan lagi ahli CC melepaskan kedudukan.

Dalam pada itu, Kong, berkata pucuk pimpinan MCA perlu bijak membuat keputusan berkenaan tarikh sesuai untuk mengadakan proses pemilihan baru serta tidak bertekateki mengenai perkara itu.

Katanya keputusan yang dibuat harus berpandukan perlembagaan parti dengan mengambil kira suara majoriti.

"Terpulanglah kepada mereka untuk mencari tarikh yang bersesuaian sama ada perlu disegerakan pada Mac ini atau dilewatkan ke Oktober," kata Kong, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Saya menyokong apa sahaja keputusan selagi ia mengikut perlembagaan parti," katanya kepada pemberita selepas taklimat serta melawat tapak projek Kondominium Sentul Utama di sini.- BERNAMA


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan