Rejim Zionis simpan 300 mayat pejuang Palestin

Isnin, 14 Disember 2009

Israel tidak beri sebab tidak serah kepada keluarga sejak 1976

RAMALLAH: Israel menyimpan mayat kira-kira 300 pejuang Palestin yang terkorban dalam peperangan dengan askar rejim itu di kubur rahsia yang dikenali sebagai 'Perkuburan Bernombor,' kata Menteri Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin, Issa Qaraqi.

Ketika melawat keluarga Palestin di kawasan Perkampungan Arourah di Tebing Barat, di utara Ramallah kelmarin, Issa berkata, Israel mencabul undang-undang asas antarabangsa dengan menyekat hak keluarga rakyat Palestin daripada menuntut mayat berkenaan.

Katanya, Israel setakat ini menyerahkan mayat seorang rakyat Palestin dari Arourah yang dibunuh tenteranya pada 1976, selepas menyimpannya hampir 33 tahun atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan.

Media Israel berkata, Mahkamah Tinggi Israel memerintahkan baru-baru ini bahawa mayat Mashhour Al-Arouri diserahkan balik. Perintah itu dibuat selepas keluarga Palestin terbabit mengemukakan petisyen di mahkamah bagi menuntut mayat berkenaan.

Rayuan yang dikemukakan saudara mara Mashhour adalah sebahagian daripada kempen Palestin untuk membawa balik mayat pejuang Palestin yang dibunuh oleh askar Israel dalam operasi mereka.

Issa berkata, mayat Mashhour akan diserahkan selepas pemeriksaan DNA mengesahkan identitinya.

Mahkamah memerintahkan sekiranya mayat berkenaan tidak sesuai dikebumi di Palestin, keluarganya akan diberi kebenaran menziarahi kuburnya.

Rakyat Palestin, bagaimanapun, agak sangsi dengan perkara ini memandangkan kebenaran untuk memasuki Israel jarang diberikan kepada mereka. Issa berkata: "Pengebumian secara paksaan mereka yang mati syahid itu adalah satu bentuk hukuman kepada keluarga mereka".

Beliau juga berkata, amalan menyimpan mayat berkenaan selama beberapa tahun menimbulkan syak bahawa Israel membunuh mereka selepas mereka ditahan atau organ dalaman mereka diambil.

Sumber Palestin berkata, Israel menyimpan mayat rakyat Palestin dan pejuang Arab itu di empat 'Perkuburan Bernombor.' - Agensi

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan