Masyarakat madani dan identiti etnik

Sabtu, 12 Disember 2009

Oleh Lee Ban Chen

Cara melintasi batasan bahasa ialah penggunaan Bahasa Melayu sebagai lingua franca secara lebih luas dan penguasaan bahasa-bahasa utama negara kita untuk memudahkan interaksi antara kaum.

Penyelenggaraan Anugerah Masyarakat Sivil Dewan Perhimpunanan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menunjukkan komitmen yang lebih tegas untuk memberi sumbangan kepada pertumbuhan masyarakat sivil dan reformasi masyarakat supaya menjadi lebih bebas, demokratik, adil dan progresif.

Sebagai sebuah badan bukan-kerajaan yang terdiri daripada satu kaum, Anugerah KLSCAH dibuka kepada individu dan badan yang memberi sumbangan unggul dalam bidang masyarakat sivil tanpa mengira kaum, menunjukkan keinsafan KLSCAH untuk membebaskan dirinya daripada kongkongan atau batasan identiti kaum.



Inisiatif KLSCAH dalam melintasi batasan kaum amat sesuai dengan sentimen rakyat yang menolak politik perkauman dalam tsunami politik Mac 8 di mana Pakatan Rakyat telah diberi mandat memerintah dalam lima buah kerajaan negeri dan sistem dua barisan telah mendapat sambutan yang menggalakkan.


Dalam masyarakat majmuk, kewujudan identiti-identiti kaum yang berlainan adalah hakikat yang perlu diterima dengan hati terbuka kerana diversiti atau kepelbagaian padahal bukan liabiliti tetapi aset masyarakat. Sebarang dasar asimilasi, hegemoni, dominasi dan penindasan kaum juga harus ditentang.


Namun, ini tidak bermakna kita menggalakkan masyarakat sivil distrukturkan menurut identiti kaum dan bergerak dalam lingkungan kaum masing-masing secara eksklusif.


Badan-badan bukan kerajaan Melayu, Cina, India dan kaum-kaum minoriti yang lain yang sedia wujud kerana faktor sejarah, geografi, keturunan, agama, kebudayaan, psikologi, dsb. perlu digalak untuk berinteraksi malah bergabung dengan masyarakat sivil kaum yang lain dalam bidang atau kepentingan yang sama atau berkaitan.


Dikotomi atau pembahagian kaum menjadi kaum bumiputera-pendatang, tuan-hamba, berhak istimewa-tidak berhak istimewa adalah komplot politik Umno/BN untuk memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum. Identiti kaum menurut klasifikasi politik perkauman ini adalah punca dikotomi/pembahagiaan badan-badan masyarakat sivil Melayu dengan badan-badan masyarakat sivil bukan-Melayu.


Setengah badan bukan-kerajaan Melayu/Islam yang diracuni dasar-dasar perkauman Umno/BN tersebut amat mudah berasa tersinggung atau tercabar berkaitan isu-isu yang dianggap ‘sensitif’ jika diapi-apikan oleh mereka yang mempunyai ‘agenda tersembunyi’, kadang-kadang menjadi agresif seperti dalam kes forum (membincangkan) pemelukan Islam yang dianjurkan oleh Majlis Peguam pada Ogos 9, 2008 yang lepas. Jelas, yang menjadi masalah bukan identiti kaum atau agama, tetapi dasar perkauman yang memecah-belahkan rakyat pelbagai kaum dan agama.

Politik perkauman bukan terhad kepada parti berkuasa, parti pembangkang juga boleh memainkan taktik yang sama dalam percaturan politik dan rebutan kuasa. Suatu contoh yang baik ialah muzakarah rahsia antara pimpinan PAS dengan pimpinan Umno untuk “perpaduan Melayu dan Islam”. Bagi parti-parti komponen BN bukan-Melayu/Islam, umpama ditikam sekali lagi dari belakang oleh Umno selepas kecundang dalam Mac 8 lalu; dan bagi DAP dan PKR dari Pakatan Rakyat, dan pengundi bukan-Melayu yang memberi sokongan kepada PAS pada Mac 8, tentu berasa seakan-akan dikhianati oleh PAS.


Tidak dapat dinafikan bahawa pengasingan badan-badan masyarakat sivil mengikut identiti kaum juga disebabkan oleh penggunaan bahasa yang berlainan, iaitu bahasa Melayu, bahasa Cina dan bahasa Tamil, disamping penggunaan bahasa Inggeris oleh golongan elit semua kaum.

Cara melintasi batasan atau rintangan bahasa ialah penggunaan bahasa Melayu sebagai lingua franca secara lebih luas dan penguasaan bahasa-bahasa utama negara kita untuk memudahkan interaksi antara kaum dan penyatupaduan masyarakat sivil yang majmuk.

Selain daripada itu, masyarakat sivil pelbagai kaum juga hendaklah menghormati identiti atau ciri-ciri kaum yang lain, dan secara tegas dan konsisten menentang sebarang dasar perkauman yang memecah-belahkan rakyat, dan memperjuangkan kesamarataan kaum demi perpaduan nasional yang tulen.

(Teks penuh ucapan bersempena dengan penganugerahan First Civil Society Award yang berlangsung pada Ogos 28, 2008).

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan