Kakitangan K'jaan Yang Akan Tamat Kontrak Kini Tertekan - CUEPACS

Isnin, 14 Disember 2009

SHAH ALAM: Cuepacs sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Disember ini, antaranya Kementerian Pelajaran, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan Jabatan Pertanian.

Presidennya, Omar Osman berkata Cuepacs menerima aduan hampir setiap hari berhubung kebimbangan kakitangan kontrak yang tidak disambung perkhidmatan itu dan kebanyakan mereka kini semakin tertekan dan terhimpit dengan keadaan tidak pasti berkenaan.

"Setakat ini sahaja, kami terima aduan daripada kira-kira 200 pekerja kontrak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri atas alasan bajet tidak mencukupi, dan kami anggarkan jumlah itu akan meningkat.

"Cuepacs merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan terbabit demi masa depan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Kursus Bola Tampar Peringkat Negeri Selangor di sini hari ini.

Omar berkata kebanyakan pekerja kontrak terlibat merangkumi golongan muda berusia antara 25 hingga 30 tahun dan sudah berumah tangga. "Pekerja kontrak yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tidak menghadapi masalah kontrak mereka dilanjutkan," katanya yang menambah terdapat kira-kira 60,000 kakitangan awam kontrak di negara ini.

Sementara itu, Omar meminta kerajaan menangguhkan tarikh peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bulan ini sebab mendapati ramai tidak lulus peperiksaan tersebut.

"Kalau boleh, kami minta kerajaan menilai semula pelaksanaan PTK ini," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails

Archives

Tops Bulanan

Tops Keseluruhan